Logo UKM

Logo UKM

Monday, 12 January 2015

Tanam Sendiri -- Kacang Tanah,Peanut

Kacang tanah adalah tanaman yang menarik jika ingin ditanam di halaman rumah. Ini kerana tanaman ini menghasilkan bunga oren yang kemudiannya menghasilkan sulur yang dicucuk ke dalam tanah.  Pod kacang membesar daripada hujung sulur ini.  Kacang tanah yang baru dituai manis rasanya.  Jadi jika anda ingin rasa kacang tanah yang paling enak, anda perlu tanam sendiri, petik dan terus rebus.  Boleh tanam bersama lobak putih, kacang panjang renek, kacang mata hitam, dan kentang. Jika tiada ruang tanah, boleh tanam dalam bekas.  Pokok ini adalah tanaman wajib jika ada anak-anak.  Ia boleh menarik minat kanak-kanak untuk berkebun serta belajar sains.  
Pokok Kacang Tanah yang saya tanam dalam patch tepi pagar.  Dalam tanah hanya 10 cm.  Dalam tanah yang ideal untuk Pokok Kacang Tanah ialah 30 hingga 60 cm.

Persediaan
Kacang tanah tumbuh elok dalam tanah lom berpasir.  Gaulkan tanah dengan baja organik dan biarkan selama seminggu supaya baja terurai sedikit.  Jika tanah liat, gaulkan dengan pasir dan baja organik dan biarkan selama seminggu.  Gembarkan tanah sehingga tanah terlerai.  Pastikan tanah dalam iaitu 30 hingga 60 cm.

Kacang tanah gemarkan tanah yang manis iaitu hampir neutral.  Jika tanah berasid, gaulkan dengan kapur dolomite.

Menyemai
Boleh semai terus di dalam tanah dengan kedalaman 3 cm. Jika tanah mengandungi semut gatal, elok semai dalam bekas semaian dulu kerana semut gatal gemar memakan benih kacang tanah.  Jika inginkan bekalan kacang tanah yang segar sepanjang masa, semai setiap 3 minggu.

Mengalih dan Menjarang
Jika semai dalam bekas, alih apabila cambahan menghasilkan 3 set daun.  Sebelum alih, letakkan bekas semaian di lokasi yang ingin dialih selama 2 atau 3 hari untuk kukuhkan cambahan.

Alih ke tanah atau bekas yang besar.  Jika tanam di atas tanah, jarakkan cambahan antara 15 hingga 20 cm.  Jarakkan antara batas 90 cm. 

Menyiram
Siram selalu untuk kekalkan tanah lembap tetapi jangan sampai air bertakung.  Pastikan tanah mempunyai saliran yang elok.  Apabila pokok mula berbunga, kurangkan siraman supaya tanah lebih kering.  Memadai siram 2 atau 3 hari sekali.

Menggembur
Apabila pokok mula berbunga, gemburkan sekeliling pokok untuk membantu memudahkan bunga menyuntik sulur ke dalam tanah.  Jika tanah berpasir, campurkan gipsum sedalam 20 cm.
Sulur Kacang Tanah (tanda panah) yang terhasil selepas bunga disenyawa mula tumbuh dan menyuntik ke dalam tanah.
Merumput
Merumput bila perlu.

Menuai
Tuai apabila daun mula kertukar kepada warna kuning dan layu.  Biasanya 110 hingga 150 hari selepas disemai.  Gunakan garfu tanah untuk leraikan tanah dan tarik batang pokok ke atas dengan berhati-hati.  Goncang untuk leraikan tanah daripada pod kacang.

Rebus pod dengan sedikit garam.  Isi kacang yang baru dituai rasanya manis.  Jika ingin simpan lama, gantung pokok dan keringkan di tempat yang panas selama 2 hingga 3 minggu.  Jika tanam banyak, boleh buat lepa kacang (peanut butter). 

Rujukan : tanamsendiri.com

No comments:

Post a Comment